Anda adalah pelawat yang ke

Saturday, 14 May 2011

Aku Milikmu (PART 1)

          Dadaku berombak perlahan-lahan. Rasa ngilu dibahagian belah kanan dadaku semakin terasa. Aku menekan-nekan dengan kuat dadaku, ada rasa sakit dan sesak di bahagian situ. Tubuhku yang dibalut T-shirt biru basah mendinginkan aku. Aku basah lencun kerana pada sebelah petang hari, aku dan hampir seluruh pengawas sekolah yang menyertai Kem Kepimpinan Pengawas direndam ke dalam sungai yang airnya keruh sebagai satu bentuk hukuman daripada Kem Komanden. Tubuhku terasa begitu berat dan payah sekali untuk melangkah. Aku mengetap gigi kuat-kuat. Rasa sakit yang tidak kepalang menyerang sekujur tubuhku. Derap langkah yang aku pasak ke bumi di mana aku masih berdiri menjadi semakin lama semakin perlahan. Dek kerana sakit yang ku rasa mencucuk, aku pasrah menempuh apa jua yang berada di hadapanku kerana aku sekarang berjalan sambil menunduk. Aku tidak mampu melawan rasa sakit itu. Aku tahu, penyakit asma sedang menyerangku pada saat ini. Kesukaran bernafas membuatkan aku meringis perlahan.

"Abang, kenapa ni?" terdengar pertanyaan perlahan yang dilontarkan kepada aku. Ada nada cemas di hujung ayat yang ditanya itu.

          Dengan susah payah aku mendongak wajah seraya memandang wajah penyapa tadi. Dengan muka yang cemas memandangku, adik angkatku yang berbaju kurung biru yang dipadankan dengan tudung hitam yang sering aku panggil dengan nama 'budak kecik' aku tatap perlahan. Mulutku yang masih diketap ku buka perlahan-lahan. Tujuanku untuk membalas pertanyaan itu.

"Abang sakit dada ni dik," dengan suara tertahan-tahan aku menjawab.

"Kalau macam tu, abang duduk la. Tak payah berdiri," adikku menjawab laju. Wajahnya yang cemas bercampur takut jelas terpamer.

"Tak apa, abang okey je," aku cuba berdalih.

          Jawapan yang aku berikan ternyata tidak dapat memuaskan hati 'budak kecik' itu. Lantas dia memanggil kawan-kawanku yang berada berhampiran dengan kami. Saat itu, aku sudahpun jatuh melutut. Aku sudah tidak dapat menguatkan diri untuk berdiri terus. Rakan-rakanku yang melihat keadaanku berlari ke arah tempat aku dan adikku berada. Seorang kawanku yang bernama Tarmizi mendekati aku. Dia menyuruh aku memegang dia kuat-kuat. Aku yang kesakitan tidak memberikan respon apa-apa. Sejurus selepas itu, Tarmizi merangkul aku dan dia terus berlari membawa aku ke khemah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia atau dikenali juga dengan nama JPAM. Beberapa ahli JPAM yang turut berada di kem itu untuk melatih kami di sini kelihatan terkejut dan panik. Aku dibaringkan di atas katil pasang siap yang digunakan oleh ahli-ahli JPAM untuk berehat. Bajuku disingkap hingga paras dada. Minyak angin dilumur di bahagian situ untuk memudahkan aku bernafas. Suasana panik menyelubungi rakan-rakanku yang lain pada waktu itu. Setelah agak reda, mereka biarkan aku berehat di situ. Cikgu memanggil ambulans memandangkan keadaan aku agak kronik. Tidak lama kemudian, setelah para peserta kem yang lain selesai solat Maghrib, aku dikejarkan ke hospital. Tarmizi juga ikut, sekadar menemani aku. Syukurlah, keadaan aku stabil. Usai diberi rawatan, aku dibenarkan pulang ke rumah. Meninggalkan barang-barang keperluan serta orang-orang yang aku sayangi di kem itu tidak terjaga, aku pulang tanpa sempat pamit. Tidak sempat aku tinggalkan pesan kepada insan yang tercinta. Puteri, maafkan putera! Hati kecil aku berkata. Rasa rindu yang mulai hadir mencengkam perasaan aku. "Moga-moga puteriku kekal menjadi mawar berduri," harapku sepenuh hati. Tidur malamku lena ditemani bayangan puteri. Rasa ngilu di dada hilang bersama senyuman puteri. Tidak sabar aku menunggu puteri pulang dari kem. Aku tersenyum sendirian tatkala puteri hadir dalam mimpi.

Hasil Tulisan Nur Faizatul Atiqah binti Ahmad Zainal

No comments:

Post a Comment